Ipoh – Ditemani wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) semasa menjamu selera sebelum layanan diteruskan di pangsapuri berhampiran.

Itu modus operandi sebuah kedai makan yang menawarkan perkhidmatan istimewa kepada lelaki hidung belang.

Bagaimanapun, taktik tersebut terbongkar berikutan serbuan oleh Jabatan Imigresen Perak di premis yang terletak di Jalan Russel di sini semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan kedai makan berkenaan adalah dengan menyediakan perkhidmatan gadis peneman atau GRO kepada pelanggan.

Katanya, pelanggan akan diberi layanan manja sebelum dibawa ke pangsapuri yang terletak di belakang premis berkenaan.

“Kedai makan ini beroperasi setiap hari tetapi menjalankan perkhidmatan GRO pada hari Sabtu dan Ahad di sebelah malam sahaja.Bayaran kepada GRO ini bergantung kepada tips yang diberikan pelanggan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan yang dilakukan bermula pukul 7 malam di kedai makan dan sebuah pusat hiburan berhampiran itu menyebabkan keadaan menjadi kecoh setelah wanita warga asing tersebut bertempiaran lari mengelak daripada dicekup.

Katanya, mereka yang bekerja sebagai GRO itu terdiri daripada 19 wanita warga China selain dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun.

“Serbuan selama dua jam ke atas dua premis itu dijalankan atas risikan dan maklumat awam kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa pas yang sah.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba melarikan diri keluar dari premis berkenaan.

“Terdapat juga warga asing yang sanggup menggadai nyawa dengan berlari ke arah jalan besar yang ketika itu sibuk dengan kenderaan.

“Bagaimanapun, cubaan melarikan diri itu gagal dengan ketangkasan pegawai yang akhirnya berjaya memberkas mereka,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa. – PerakGazette