SUNGAI SIPUT – Penduduk Kampung Jalong, di sini, sudah seakan sudah lali apabila mereka ‘diserang’ lalat sejak beberapa tahun lepas.

Makan, tidur mahupun bersantai ditemani lalat namun mereka masih berharap pihak berwajib membantu menyelesaikan masalah serangga perosak yang membelenggu kampung itu.

Menurut peniaga, Norhafizah Mohd Ariffin, 31, dia terpaksa menggunakan cawan kaca berpenutup bagi mengelakkan lalat terbang ke dalam minuman pelanggannya.

Namun usaha itu hanyalah langkah kecil kerana lalat masih banyak di kedainya dan setiap kali makan, pelanggan kerap kali mengibas tangan menghalau serangga itu.

“Ada penutup pun kadangkala lalat boleh masuk ke dalam cawan pelanggan melalui corong penyedut minuman. Jadi, pelanggan perlu membengkokkan penyedut minuman pula.

“Bagi orang kampung, mereka faham dengan keadaan ini dan bila makan, mereka tidak begitu merungut tetapi bila orang luar datang, kami rasa malu juga.

“Rasa macam kedai tak bersih pula sedangkan memang bersih, cuma lalat saja banyak. Mujur setakat ini tak ada kes keracunan makanan melibatkan kedai kami,” katanya.

Keluar modal beli perangkap lalat

Seorang lagi peniaga, Hamidah Yusof, 48, berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM100 untuk membeli pelekat perangkap lalat bagi membendung masalah itu.

Bagaimanapun, serangan lalat masih berlaku dan kadangkala dia memerlukan lebih 30 pelekat perangkap lalat sehari.

“Suami saya biasanya beli borong pelekat perangkap lalat di Rawang kerana di sana lebih murah, hanya RM2.15. Di Sungai Siput, harga lebih RM4. Kebetulan dia kerja di sana jadi dia boleh tolong belikan.

“Lazimnya serangan lalat ini bermusim. Kalau saya datang kedai kira-kira jam 5 pagi dan sudah mula ada lalat, saya perlu bersedia dengan pelekat lalat kerana tahu bila siang pasti lebih banyak lalat datang,” katanya.

Reban ayam, kandang babi mungkin jadi punca

Dalam perkembangan sama, penduduk, Ahmad Termizi Sudin, 60, berkata, sehingga kini mereka masih belum mengetahui punca serangan lalat di kawasan tersebut.

Katanya, terdapat beberapa reban ayam, ladang sayur serta kandang khinzir berhampiran kampung itu namun dia tidak pasti apakah punca menyebabkan lalat banyak di kampungnya.

“Jarak reban ayam paling dekat dalam satu kilometer dan kandang khinzir hampir dua kilometer. Pencemaran bau memang ada terutamanya pada waktu pagi dalam jam 9 pagi.

“Namun, saya tak berani mengatakan kehadiran reban dan kandang itu punca berlakunya serangan lalat di kampung. Cuma kami harap pihak berkaitan datang ke kampung dan cuba cari puncanya.

“Bukan saja siang, waktu malam pun ada lalat di rumah. Kalau mahu tidur siang memang tidak boleh kerana terlalu banyak lalat,” katanya.

PTD sudah maklum

Sementara itu, Adun Jalong, Loh Sze Yee memberitahu, beliau sudah memaklumkan masalah itu kepada wakil Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sungai Siput, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak berkenaan akan mengarahkan beberapa pegawai meronda kawasan kampung itu dan cuba mencari punca dari mana datangnya lalat yang menyerang Kampung Jalong.

“Saya adukan kepada mereka jadi saya rasa biar mereka jalankan tugas kerana mereka lebih arif dengan kawasan di sini. Mereka akan lihat dulu kawasan ini sebelum ambil tindakan dan mahu periksa adakah ada pertanian atau penternakan secara haram di kawasan itu.

“Jadi, kita akan tunggu dan lihat keputusan mereka. Selepas ini, kita akan terus pantau juga kawasan ini dan lihat adakah masalah itu sudah selesai,” katanya.

-SinarHarian