IPOH: ‘Makcik gelang pink’ dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM 8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada awal bulan lalu.


Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Emah Mohamad Hashim 72, membuat pengakuan bersalah kerana tidak mematuhi pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Restoran Hanaz Cafe di halaman Meru Permai Ipoh pada 6 Julai pada pukul 8 pagi.

Mahkamah turut memerintahkan wanita yang hadir memakai jubah serba hitam itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tindakan tertuduh itu didapati melanggar perintah itu di bawah Subseksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan oleh Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor pada jam lebih kurang 5.30 petang 4 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 22 (b), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24 (a) Akta yang sama dengan hukuman dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ahmad Fakurazi ketika prosiding meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Manakala, dalam rayuan Nur Emah semasa prosiding berkenaan, dia memohon agar mahkamah mengurangkan denda memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan.

Katanya, selain itu suaminya sudah meninggal dunia dan kini menanggung tiga anak selain tahap kesihatannya yang tidak begitu baik.

Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima aduan mengenai satu gambar viral di media sosial seorang wanita Melayu memakai gelang perintah pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di sebuah Restoran di Meru Raya.

Susulan itu, siasatan dijalankan oleh Pegawai Diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Hasil siasatan yang dijalankan didapati tertuduh seorang wanita melayu berumur 72 tahun yang merupakan orang kena Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 4 sehingga 18 Julai.