IPOH: Kerajaan persekutuan dimohon memaklumkan enam syor yang dikemukakan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz untuk menaik taraf sekolah berkenaan kepada Sultan setiap negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri menyokong kesemua syor berkenaan namun perkara-perkara melibatkan pengukuhan hal ehwal islam khususnya yang mempunyai kepentingan umum sewajarnya turut dimaklumkan kepada Sultan.

“Secara dasarnya kita (kerajaan negeri) tidak ada masalah namun bagi negeri yang mempunyai Sultan, saya harap Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom dapat menyambah maklum kepada Sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan program sijil tadbir urus desa zon utara fasa 2 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini pada Khamis.

WhatsApp Image 2017-09-21 at 12.25.08

Turut hadir Menteri KKLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.

Tambah Dr Zambry, kerajaan negeri secara dasarnya menyokong enam syor berkenaan yang dilihat akan memberi impak positif terhadap sekolah-sekolah tahfiz seluruh negeri ini.

“Saya fikir ia merupakan sesuatu yang baik kerana ianya usaha kita untuk memperkukuh dan memperbetulkan keadaan pengurusan dan juga kedudukan maahad-maahad tahfiz seluruh negara,” katanya.

Pada Rabu, kabinet telah bersetuju dengan enam syor dikemukan oleh jawatakuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi mengubah landskap pendidikan tahfiz merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan keselamatan.

Dalam fasa permulaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir akan memulakan perbincangan dengan semua negeri mengenai syor-syor tersebut.