KUALA LUMPUR : Pembubaran Dewan Rakyat seperti dituntut Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah langkah terbaik menyelesaikan krisis politik negara.

Dengan memberikan mandat kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara merupakan formula terbaik untuk kestabilan politik dalam negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP telah bahawa kerajaan yang dipilih rakyat pada PRU-14 lalun lalu gagal berfungsi sebagai sebuah badan pentadbiran sehingga menyebabkan deadlock.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Terengganu berkata, mewujudkan kerajaan perpaduan bersama DAP adalah malapetaka besar kepada Malaysia kerana tempoh 21 bulan PH memerintah sudah membuktikan parti cauvinis itu tidak layak mengemudi negara.

Katanya, membentuk kerajaan bersama DAP ibarat ‘pikul biawak hidup’ dengan pelbagai masalah yang diwujudkan pemimpin parti itu seperti menyokong LTTE, komunis, peguam negara yang tidak adil dan pelbagai lagi masalah.

“Maruah negara bukan sahaja hilang apabila aset strategik bernilai lebih RM30 bilion dijual sesuka hati. Mahukah kita dipimpin sekali lagi oleh sebuah parti yang rasis dan cauvinis sehingga memecah belahkan negara ini?” soal beliau.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak lupa kematian seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang kesnya masih tidak terbela sehingga hari ini.

Katanya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mendakwa penyatuan ummah antara UMNO dan Pas adalah pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu.

“Begitu juga Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian di kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan Jawi dengan bahan pornografi dan lucah.

“Selain itu, bekas Menteri Perpaduan, Senator, P. Waytha Moorty merupakan individu paling bertanggungjawab dalam menggadai maruah negara apabila mendakwa kaum India di Malaysia telah didiskriminasi dalam pelbagai cara seperti dipaksa menukar agama.

“Inilah sifat sebenar DAP yang rakyat Malaysia harus ingat. Parti ini tidak langsung mempunyai semangat patriotisme dan hanya mahir menyebarkan kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Justeru, kata Najmil Faiz, pembubaran Parlimen yang dicadangkan kempimpinan UMNO adalah langkah terbaik untuk memulihkan maruah Malaysia setelah dicalarkan dan digadaikan oleh kerajaan PH-DAP selama 21 bulan. – MalaysiaGazette