SINGAPURA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bakal menjadi perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau optimistik yang Malaysia boleh menjadi satu kuasa ekonomi baharu di rantau ini.

Berucap pada majlis S Rajaratnam Endowment Dialogue di sini, hari ini, Anwar berkata keyakinan tinggi itu adalah bersandarkan kepada ‘dasar-dasar Malaysia yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang stabil dan bersih.’

“Dengan adanya kedaulatan undang-undang…dan institusi yang demokrasi…saya percaya, InsyaAllah Malaysia akan muncul sekali lagi sebagai kuasa ekonomi yang menjadi contoh,” katanya.

Dialog terbabit adalah satu program utama Sidang Kemuncak Singapura 2018 yang diadakan di Shangri-La Hotel di sini.

Turut hadir, bekas perdana menteri Singapura, Goh Chok Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings, Ho Ching.

Sidang Kemuncak Singapura dianjurkan oleh Temasek Foundation Connects dengan sokongan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura, GIC Pte. Ltd, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan dan Industri, Pihak Berkuasa Monetari Singapura serta Temasek.

Menjawab soalan daripada hadirin mengenai hubungan Singapura-Malaysia, Anwar bertanyakan semula, “ada sebarang masalah ke?”.

“Saya sejujurnya tidak percaya bahawa ada masalah (antara kedua-dua negara),” katanya diiringi tepukan daripada hadirin.

Anwar yang juga adalah Ketua Umum Pakatan Harapan turut berjanji sekiranya mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau akan pastikan negara pertama yang dilawati adalah Singapura. – BERNAMA