KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata demikian selepas perbualan telefon dengan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla, mengenai tragedi yang melanda Palu di kepulauan Sulawesi.

Katanya, selain bantuan kewangan, kerajaan juga akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke kawasan yang dilanda bencana itu bagi membantu kerja mencari dan menyelamat (SAR).

Bercakap kepada pemberita di Kompleks Sukan Paralimpik di sini hari ini selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen atlet negara yang menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Dr Wan Azizah berkata Malaysia menawarkan bantuan itu berikutan Indonesia kini terbuka untuk menerima derma dan bantuan luar.

“Kita akan menghantar pasukan SMART bagi kerja SAR kerana kita mengejar masa bagi memastikan sebanyak mungkin mangsa diselamatkan dan kita juga menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 untuk membantu Indonesia menghadapi bencana ini.

“Malah, sudah ada beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa seperti Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Mercy Malaysia di Sulawesi sekarang.

“Buat masa sekarang, dari segi logistik, satu-satunya lokasi di mana pesawat boleh mendarat ialah di Makassar yang kini sudah sesak dan Malaysia hanya akan menghantar bantuan selepas mendapat kebenaran untuk mendarat di sana,” katanya.

Setakat ini, ratusan orang dilaporkan maut akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Palu Jumaat lalu, yang turut mengakibatkan bekalan elektrik serta perhubungan terputus di sekitar bandar itu selain Donggala, wilayah yang paling dekat dengan pusat gempa bumi iaitu sejauh 27 kilometer – berita harian