PUTRAJAYA, 11 JAN : Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan dijalankan bermula 21 Januari ini di sembilan buah hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian tersebut melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institut Perubatan Biologi Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS), China.

“Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah diperolehi pada 8 Januari.

“Selain itu, NPRA KKM juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Beliau berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKP-B) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKP-P) ialah Perlis dan Sarawak. – AWANI