Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memperkenalkan kereta terbang menjelang akhir tahun ini akan menjadi kenyataan apabila ‘Super Dron’ dengan teknologi Kepintaran Buatan (AI) bakal memasuki pasaran negara tidak lama lagi.

Super dron ini merupakan revolusi pengangkutan udara pertama di dunia dan Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang menerima dan menggunakan teknologi dron itu selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Projek super dron ini diusahakan oleh sebuah syarikat tempatan EastCap Berhad yang menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat dari China, EHang Intelligent Equipment di Guangzhou dan Strong Rich Holdings Limited.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari, kerjasama strategik itu bagi memasar, menjalankan operasi, perkhidmatan serta penyelenggaran super dron di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari ketika melakukan lawatan ke kilang Super Dron di China, baru-baru ini

“Buat permulaan teknologi Super Dron yang akan diperkenalkan itu bagi kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, teknologi dron dengan teknolgi AI ini sesuai digunakan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan keselamatan di kawasan sempadan negara khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan lebih efektif.

“Super dron ini bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya ia dicadangkan untuk kegunaan pihak berkuasa dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

“Antaranya ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Kesemalatan Negara (MKN),” katanya.

Tambah beliau, super dron itu juga boleh digunakan oleh pihak kerajaan bagi tujuan meningkatkan pelancongan dengan memperkenalkan pengangkutan udara mudah alih di pulau-pulau yang mempunyai daya tarikan pelancongan.

“Dengan kos serendah RM80 bagi setiap perjalanan, ia dapat menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke pulau-pulau pelancongan di negara itu seperti di Langkawi dan Sabah,” katanya.

Katanya, sekiranya Kerajaan Malaysia boleh memberikan insentif dan tawaran yang menarik, pihaknya tidak menolak untuk membina kilang pemasangan super dron berkenaan di Malaysia dengan pengeluaran 10,000 unit setahun.

Jelasnya, super dron ini terbukti mampu menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti khususnya di kawasan bandar sekiranya berlaku kecemasan dan memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

Menariknya Super Dron ini boleh melakukan penerbangan pada ketinggian 300 meter dengan kelajuan maksimum 130 kilometer sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri sejauh 110 kilometer.

Selain itu, ia berupaya membawa maksimum dua orang penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram bagi satu perjalanan.

Selepas Malaysia, Zakwanhafiz menyasarkan pasaran di Indonesia bagi sektor pengangkutan di kawasan pulau-pulau negara jiran itu yang tidak dihadkan membawa penumpang bahkan membawa barangan.

 

– MalaysiaGazette