TELUK INTAN: Malaysia sifar gelandangan adalah antara aspirasi  dan hasrat anak muda buat negara yang bakal membangun dengan pesat menjelang tahun 2050 kelak.

IMG-20170420-WA0012

Aspirasi yang disuarakan dalam Program Transformasi Nasional (TN50) di daerah Hilir Perak sempena Program Permukiman Menteri Besar juga menampakkan keprihatinan dan visi jelas oleh golongan belia yang bakal menerajui negara ini kelak.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, beliau amat berbangga dengan lontaran idea, aspirasi serta suara hati paling dalam yang diutarakan oleh beberapa golongan belia dalam program TN50 Hilir Perak itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memandang serius cetusan idea dan perspektif belia yang kini sebenarnya lebih kritikal dalam hal melibatkan pembangunan Malaysia sebagai sebuah komuniti membangun baik dari segi bangunan mahupun sosio pemikirannya.

“Kita sentiasa memberikan ruang itu dan menyediakan platform kepada mereka, contohnya seperti TN50 yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri  sendiri untuk mereka berhadapan dengan 2050 nanti.

“Ini adalah kaedah terbaik, dengan menyahut seruan kerajaan untuk melakukan proses engagement atau pendekatan dengan anak-anak muda, mendengar suara mereka berbanding kita yang menyampaikan pandangan sendiri,” katanya.

IMG-20170420-WA0004

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengendalikan sesi santai Program TN50 lebih 500 belia sekitar daerah Hilir Perak di Dewan Bandaran Teluk Intan pada malam Rabu.

Menurutnya, Hilir Perak mungkin dianggap sebagai daerah yang kecil, namun ianya dipenuhi dengan anak muda yang begitu berpotensi dan mempunyai daya fikir serta impian yang baik untuk masa depan negeri Perak dan Malaysia secara amnya.

“Harapan saya, agar mereka yang datang dan bersama dengan kita pada hari ini bakal menjadi pelapis dan peneraju di masa depan, kerana belialah yang akan meneruskan kepimpinan di pelbagai peringkat dan menjaga negeri serta negara, aman dan berjaya,” katanya lagi.