PUTRAJAYA, 11 JAN : Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperolehi.

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19.

“Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia,” ujar beliau lagi. – AWANI