ALOR SETAR: Pemilik restoran Nasi Kandar Salleh yang beroperasi di pekan Napoh, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 hari ini.

Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 tahun, didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib pada 14 Julai lalu.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Hospital Alor Setar, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di Bank Rakyat Cawangan Jitra, Kubang Pasu pada jam 4.40 petang, 14 Julai lalu.Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa telah meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di Agro Bank Cawangan Jitra pada jam 3.58 petang dan Pusat Khidmat Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kubang Pasu pada jam 3.35 petang pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan terakhir, Nezar Mohamed juga didakwa telah meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di premis Public Bank Cawangan Jitra, pada jam 3 petang, juga pada hari yang sama.Susulan itu, tertuduh didakwa telah melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh mengikut Seksyen 22 (b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Hadi menjatuhkan hukuman bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh didenda RM3,000 dan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan, dengan hukuman penjara akan berjalan secara serentak.

Bagaimanapun, hukuman penjara tidak dapat berjalan ketika ini memandangkan tertuduh masih dalam proses pemantauan di hospital tersebut.