PUTRAJAYA 14 Nov. – Kementerian Pendidikan mengecualikan bayaran permohonan penggantian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hilang akibat banjir untuk semua mangsa banjir di seluruh negara kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Mangsa-mangsa yang terlibat boleh membuat permohonan terus kepada Lembaga Peperiksaan bagi mendapatkan semula sijil SPM ganti,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Integriti Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Lembaga Peperiksaan menetapkan bayaran bagi setiap salinan sijil peperiksaan berharga RM30. Borang permohonan boleh didapati melalui kaunter lembaga atau memuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan.

Terdahulu Mahdzir dalam ucapan perasmian menasihatkan 500,000 kakitangan kementerian di seluruh negara agar meletakkan integriti sebagai agenda utama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Menurutnya, integriti yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu pada rasuah dan salah guna kuasa namun merangkumi sikap semasa bertugas seperti tidak hadir bertugas dan tidak melaksanakan tugas.

-UTUSAN ONLINE