BATU GAJAH: Seramai 48 mangsa banjir daripada sembilan buah keluarga di Kampung Piandang, Siputeh, dekat sini boleh menarik nafas lega apabila mereka akan dipindahkan ke penempatan baharu tidak lama lagi.

Dua keluarga akan dipindahkan ke rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kampung berkenaan manakala tujuh keluarga lagi ditawarkan tapak rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Seri Kanthan, Tronoh.

Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim berkata, kawasan berkenaan sering dilanda banjir kilat kerana kedudukkannya di tepi Sungai Bakong.

“Susah kita nak membelakannya kerana kelubong jalan yang begitu besar, jika hendak dipindahkan, memakan masa yang banyak dan perbelanjaan berbelas juta ringgit.

“Jadi saya rasa tidak ada jalan lain masalah untuk kita mengatasi perkara ini…saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah supaya kita pindahkan mereka ke kawasan yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan berkenaan pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Daerah Kinta, Tarmidzi Mohd Yusop.

Mohd Yusoff berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Batu Gajah akan membaiki dua buah rumah PPRT di kampung berkenaan dalam masa terdekat bagi membolehkan dua keluarga yang terlibat berpindah dengan segera.

Di samping itu, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah yang dijangka bulan depan, akan memasukkan tujuh keluarga lagi ke dalam RPT Seri Kanthan.

“Adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, termasuk mereka yang mengalami kesulitan akibat banjir yang berlaku sekarang,” ujar beliau.

Beberapa penduduk yang ditemui menyambut baik langkah segera yang dilakukan untuk mengatasi masalah yang sering menghantui mereka setiap kali hujan lebat.

Rustam Mohamad, 55, berkata, sejak tinggal di kampung itu pada 1991, rumahnya telah dilanda banjir lebih 40 kali, termasuk yang terburuk dalam tiga empat tahun kebelakangan ini.

“Insya Allah, hari ni ada tuan DO dan Datuk Wira datang, dapat menyelesaikan masalah yang kami hadapi sekian lama,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin.

Mohd Kamal Redzuan, 36, pula berkata, dalam minggu ini sahaja rumahnya telah dinaiki air sebanyak dua kali sehingga merosakkan banyak barangan dan pakaian sekolah anak-anak.

“Saya setujulah apa yang Datuk Wira rancangkan…mungkin lepas ini tidak kena banjir lagi, terima kasih lah kepada semua,” ujarnya.