TELUK INTAN: Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di sekitar Kampung Pengkalan Ara, Sungai Manik, di sini kekal 31 orang sehingga jam 11 pagi Sabtu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Hilir Perak, SM Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata ketika mula dibuka pada malam Jumaat, pusat pemindahan banjir itu menempatkan seramai 27 orang tetapi meningkat kepada 31 orang pada 8 pagi ini.

“Kami memindahkan kesemua 31 mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK Pengkalan Ara dan semua pihak dinasihatkan untuk berjaga-jaga berikutan kemungkinan paras air yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Sabtu.

Beliau yang juga merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak itu berkata kawasan perkampungan tersebut sememangnya terletak di kawasan rendah dan hujan lebat yang berterusan menjadikan keadaan bertambah teruk.

Tambahnya, Perak juga mengalami musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan tanpa henti di beberapa daerah sekitar negeri.

“Mujur, cuaca kini bertambah baik begitu juga dengan PPS yang berada dalam keadaan terkawal,” katanya lagi.

Menurut beliau, pihaknya masih lmelakukan pemantauan semasa dan hanya akan membenarkan mangsa banjir kembali ke rumah mereka setelah keadaan disahkan selamat.

“Antara agensi terlibat adalah APM, Polis, Bomba, JKR, JKKK, Rela, Jabatan Kebajikan dan daripada Kementerian Kesihatan seramai 27 orang,” tambahnya.

Sementara itu, Fazly berkata paras air yang agak tinggi di sekitar pekan dan Kg Batu 16,Kg Paya Kiri serta Kg Pondok Quin, Batu Kurau telah menyebabkan seramai empat mangsa dipindahkan ke rumah ahli keluarga terdekat.

“Kita telah membantu untuk memindahkan seorang perempuan lumpuh ketika paras air meningkat, selain seorang lelaki dan dua dewasa di sekitar kawasan terjejas.

“Tiada pusat pemindahan banjir yang dibuka kerana keadaan tidak begitu kritikal, dan punca banjir kilat itu adalah berikutan limpahan air Sungai Relau Berdiri, Sungai Semambu dan Pondok Quin disebabkan hujan lebat di kawasan bukit.

Jelasnya, setakat ini air telah surut sepenuhnya di sekitar Batu Kurau namun mereka masih berwaspada berikutan cuaca yang masih mendung di kawasan itu.
Dalam pada itu, APM melaporkan tiada sebarang kejadian banjir kilat di sekitar daerah Kuala Kangsar dan hanya terdapat hujan renyai di kawasan Perak Tengah.

“Begitu juga dengan Daerah Hulu Perak, Kampar, Batang Padang, Kerian, Muallim, dan daerah Bagan Datuk, Kinta, Sungai Siput dan Manjung walaupun keadaan cuacanya agak mendung,” katanya.