TELUK INTAN: Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Kg Pengkalan Ara, dekat sini meningkat kepada 34 orang sehingga pagi Ahad, berbanding 31 orang semalam.

Pusat pemindahan itu dibuka 9.30 malam Jumaat selepas beberapa buah rumah di Parit 3 dan Parit 5 kampung berkenaan dinaiki air kira-kira 0.3 meter.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, sehingga jam 7.30 pagi Ahad, bilangan keluarga mangsa meningkat dari 10 kepada 11.

Mereka terdiri daripada lelaki dewasa (10), perempuan dewasa (11), kanak-kanak lelaki (6) dan kanak-kanak perempuan (7).

“Terdapat penambahan satu keluarga kerana sebelum ini mereka pulang bercuti ke Kedah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.