IPOH: Mangsa banjir di seluruh negeri Perak meningkat secara mendadak melibatkan 334 orang berikutan hujan lebat yang berlaku pada malam Isnin.

Sebelum ini, jumlah mangsa banjir adalah seramai 94 orang tetapi angka itu melonjak naik melibatkan seramai 109 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, berkata kawasan yang terjejas teruk dalam banjir tersebut adalah di sekitar daerah Manjung yang melibatkan seramai 197 mangsa banjir.

“Ianya melibatkan 68 keluarga daripada tiga kampung sekitar Kg Padang Serai, Kg Kilang dan Kg Masjid di mana mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu Sekolah Agama Rakyat Padang Serai serta Dewan Orang Ramai Inderawati, Beruas.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka pada pukul 8.30 malam semalam (Isnin), dan sehingga jam 8 pagi Selasa paras air telah meningkat setinggi 3 meter,” katanya kepada Suara Perak

Jelasnya, banjir yang berlaku di daerah Larut, Matang dan Selama turut menjejaskan 90 penduduk di sekitar Kg Jawa, Kg Matang Merbau, Kg Batu 27 Batu Hampar dan Kg Batu 25 di Trong.

“Sebanyak 28 keluarga terpaksa dipindahkan di tiga pusat pemindahan iaitu di Surau Kg Jawa, Dewan Kampung Matang Merbau dan SK Batu Hampar.

“Ia melibatkan 34 lelaki, 42 wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan. Paras paras air telah meningkat sehingga 1 meter di Kg Matang Merbau dan Kg Batu Hampar manakala 0.325 meter di Kg Jawa,” katanya lagi.

Selain itu, bagi daerah Hilir Perak, pusat pemindahan SK Pengkalan Ara yang dibuka pada malam Jumaat lepas kini menempatkan seramai 27 mangsa banjir dari 9 keluarga dan paras air kekal sekitar 1 kaki.

Jelasnya, sebuah pusat pemindahan turut dibuka di daerah Kinta di Kg Piandang, Seputeh bagi menempatkan seramai 20 orang yang terdiri daripada 4 buah keluarga.

Semua yang terjejas ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kg Piandang yang dibuka pada petang Isnin di mana paras air telah meningkat berikutan hujan lebat.

Tambahnya, bagi daerah Bagan Datuk hujan lebat yang bermula pada 2.30 petang semalam (Isnin) telah menyebabkan saliran utama tidak dapat menampung air yang berlebihan lalu bertakung di beberapa kawasan yang rendah.

Justeru,limpahan air telah berlaku di kawasan halaman penduduk namun kini telah beransur surut dan tiada keperluan pusat pemindahan dibuka setakat ini.

“Selain itu, laporan daripada empangan kolam Bukit Merah menunjukkan takat air setinggi 29 kaki dan perlepasan sebanyak 900 kubik meter padu sesaat.

“Paras air di tiga sungai utama iaitu Sg Kerian, Sg Kurau dan Sg Samagagah adalah normal setakat ini,” kata beliau