Ipoh, 9 Jan : Bilangan mangsa banjir di Perak menurun kepada 133 mangsa daripada 36 keluarga di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah pagi ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak berkata, jumlah itu terus menurun berbanding seramai 145 mangsa daripada 39 keluarga yang direkodkan petang semalam.

“Bagi Daerah Hilir Perak, bilangan mangsa banjir di PPS Dewan MPTI Teluk Intan menurun kepada seramai 108 orang daripada 28 keluarga berbanding 120 mangsa daripada keluarga semalam

“Manakala bagi Daerah Perak Tengah yang baru dibuka semalam jumlah tidak bertambah dengan seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Aur, Bota Kiri,” katanya.

Sementara itu, bagi Daerah Hulu Perak, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga kekal ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Perah. – Harian Metro