IPOH: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 199  orang sehingga tengah hari ini berbanding 736 orang semalam.

Sehingga pukul 1 tengah hari, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka yang menempatkan mangsa banjir daripada 77 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, dua PPS yang masing dibuka ialah di SK Parit Haji Aman, Bagan Serai dan di SRAR Ngah Ibrahim, Matang.

“Seramai 152 mangsa daripada 63 keluarga masih ditempatkan di PPS di SK Parit Haji Aman  manakala SRAR Ngah Ibrahim, Matang menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya.

Terdahulu pagi ini, seramai 364 mangsa banjir dari 135 keluarga di PPS Masjid Toh Paduka di Ijok, Larut dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas pusat itu tutup pada pukul 10.30 pagi ini.

Mereka dibenarkan pulang berikutan keadaan banjir di kampung mereka pulih sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE