IPOH – Bilangan mangsa banjir di Perak telah menurun kepada 161 orang daripada 220 manakala Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Perak Tengah telah ditutup, setakat pukul 8 malam ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata hanya dua PPS di daerah Kerian masih beroperasi.

“PPS Surau Nurul Jannah Parit 6, Layang-Layang Kiri, Parit telah ditutup secara rasmi pada pukul 8 malam apabila ke semua 16 orang mangsa dari empat keluarga telah pulang ke rumah masing-masing setelah banjir pulih sepenuhnya.

“Hanya tinggal dua PPS di daerah Kerian yang masih beroperasi iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dengan 16 keluarga melibatkan 74 orang mangsa manakala PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu pula menempatkan 30 keluarga dan 87 mangsa,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tengah Muhammad Ghopran Yeop Hamzah dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang telah bekerjasama membantu semua mangsa banjir yang terlibat di PPS Surau Nurul Jannah.