TIDAK berpuas hati dengan hasil jualan dadah dipercayai punca remaja lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditanam separuh badan di sebuah kebun durian dekat Kangkar Pulai, Johor Bahru pada 5 Julai lalu.

Remaja, 15, terbabit dikatakan memulangkan wang hasil jualan dadah kurang daripada jumlah sepatutnya menyebabkan berlaku perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah apartmen di Bukit Indah, Johor Bahru pada 29 Jun lalu.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Gerald Lim Jin Jie itu dikatakan diarahkan meminum minuman campuran air berkarbonat mengandungi dadah sebelum dia pengsan.

“Akibat tidak berpuas hati, suspek memukul dan menjerut leher mangsa sehingga dia maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa dengan Toyota Camry menuju ke arah Ulu Choh sebelum menukar pikap Ford Ranger lalu terus membawa mayat terbabit ke kebun durian berkenaan untuk ditanam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Daerah Iskandar Puteri Asisten Superintendan Reduan Khalid.

Beliau berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan 17 individu termasuk enam wanita bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan antara 7 Julai hingga Isnin lalu di beberapa rumah dan hotel sekitar daerah Johor Bahru.

“Kita turut merampas beberapa barangan iaitu 23 telefon bimbit, pelbagai barangan kemas, wang tunai Ringgit Malaysia dan negara asing, pelbagai jenis dadah, beg sandang, beg tangan, enam seluar dalam, kunci kereta, kunci rumah, pelbagai dokumen dan kad akses.

“Kita turut merampas Toyota Camry berkenaan, manakala Ford Ranger pula ditemui dibakar di Kangkar Pulai,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan didapati positif methamphetamin dan hasil semakan mendapati lapan lelaki dan empat wanita terbabit mempunyai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

Katanya, siasatan juga mendapati semua suspek adalah pengedar dadah sekitar Johor Bahru yang aktif kira-kira sebulan lalu di mana dadah itu dijual secara perseorangan dan di pusat hiburan.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mayat remaja lelaki yang tidak bersekolah itu ditemui dengan separuh badannya tertanam dalam tanah di kebun durian dalam keadaan yang mula mereput pada bahagian muka dan sudah berwarna hitam.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian terdapat keadaan lebam di bahagian badan dan kesan jerut di leher mangsa – hmetro