BATU GAJAH – Trauma dan terkejut, itulah perasaan beberapa orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12.5 Lebuhraya Ipoh-Lumut awal pagi tadi yang mengakibatkan dua maut termasuk seorang penuntut perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Salah seorang mangsa yang ditemui, Wan Mohd Amer Erfan Wan Mohd Amin, 19, mengakui beliau masih trauma apabila mengingat kembali detik cemas yang menimpanya.

“Padangan saya hanya gelap dan kabur ketika itu. Saya memang panik apabila melihat kiri dan kanan saya orang telah tertiarap dan saya turut mendengar jeritan beberapa mangsa.

“Namun saya tetap bersyukur saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki akibat tersepit di bawah bangku hadapan,” kata pelajar UiTM Seri Iskandar itu.

Kemalangan berlaku apabila bas ekspres dua tingkat yang membawa 38 penumpang yang kebanyakannya penuntut UiTM Seri Iskandar dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Lumut sebelum terbabas selepas melanggar pembahagi jalan berhampiran Batu Gajah Perdana.

Mohammad Syamim Zikri, 18, pelajar diploma tahun pertama jurusan Ukur Bangunan UiTM Seri Iskandar berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur.

“Saya terkejut apabila melihat bongkah batu besar di dalam bas dan ketika saya cuba bergerak tangan kanan saya sudah terkulai.

“Saya berterima kasih kepada orang awam yang membantu saya keluar dari bas tersebut kerana saya memang tidak berdaya berbuat apa-apa kerana bas sudah dipenuhi bongkah batu besar dan tangan saya kanan saya juga telah patah,” katanya.

Beliau turut mendakwa melihat pemandu bas tersebut bergerak sedikit selepas kejadian tetapi pandangannya kabur memandangkan keadaan di dalam bas yang berdebu dan dipenuhi habuk.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Supt Tan Boon Hooi ketika ditemui di Hospital Batu Gajah berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku pemandu bas gagal mengawal kenderaan akibat dipandu laju sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Akibat pelanggaran itu dua mangsa maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala selepas terkena serpihan bongkah batu pembahagi jalan yang terpelanting memasuki bas berkenaan.

“Insiden itu turut mengakibatkan 12 penumpang cedera termasuk tiga parah yang mana dua daripadanya telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa yang maut adalah Munzirah Jalaludin, 20, penuntut tahun akhir Diploma jurusan Hartanah UiTM Seri Iskandar dan pemandu bas Mohamad Azizul Che Aziz, 30.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah Boon Hooi.