IPOH: Semua mangsa kemalangan di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai – Cameron Highlands yang menyebabkan tujuh maut dan tiga cedera telah dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Perak, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang meninggal ialah pemandu Perodua Alza, Mohd Zairul Mat Isa, 34, ibunya, Fatimah Mat Isa, 68, isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4.

Tiga lagi yang meninggal dunia ialah Zulkifli Suib, 49, isterinya, Hasliza Mahmud, 40 dan anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.

Tiga yang cedera pula ialah Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9 dan dua anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11 dan Apit, 16.

A Asmadi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6.05 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dalam perjalanan dari Cameron Highland ke Simpang Pulai hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

“Kenderaan itu kemudian terbalik menyebabkan kesemua mangsa teperangkap di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, proses bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

Sementara itu, abang pemandu Perodua Alza, Mohd Zakri Mat Isa yang ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh berkata, kesemua mangsa sedang bercuti di Pulau Pangkor sebelum ke Cameron Highlands.

Mereka dikatakan dalam perjalanan hendak pulang ke rumah mereka di Kampung Badlishah, Mukim Terap, Serdang, Kedah.