BUKIT BERUNTUNG: Semua 61 mangsa serangan strok haba di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di sini, semalam bukan pelatih pusat latihan itu, sebaliknya peserta kursus pemilihan Unit Tindakan Khas (UTK).

Komandan PULAPOL Bukit Sentosa, Superintendan Osman Mamat, berkata mereka adalah sebahagian daripada 85 peserta kursus yang sedang menjalani latihan bertaraf elit selama seminggu di pusat latihan itu.

“Mereka bukan pelatih PULAPOL tetapi peserta kursus pemilihan untuk UTK.

“Seramai 85 peserta kesemuanya dan mereka sedang menjalani kursus selama seminggu di sini bermula 13 hingga 19 Ogos ini,” katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau berkata, latihan yang dilakukan oleh peserta kursus terbabit adalah antara ujian kental yang perlu dilepasi setiap peserta.

Bagaimanapun, katanya berkemungkinan faktor cuaca panas menyebabkan serangan strok haba itu berlaku.

Osman berkata, terdapat unsur kerahsiaan yang sememangnya dipatuhi oleh pasukan itu namun disebabkan kehadiran ambulans dengan jumlah yang banyak menyebabkan maklumat itu disedari umum.

Dalam insiden tengah hari semalam, seramai 61 peserta kursus yang menjalani latihan di PULAPOL Bukit Sentosa dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba dengan 16 daripadanya dilaporkan kritikal.

Semua mereka dikejarkan dengan ambulans ke beberapa hospital sekitar Selangor serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Sumber Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, Kementerian Kesihatan berkata, kejadian berlaku apabila pelatih terbabit ditempatkan dalam sebuah bas di bawah terik matahari sebagai sebahagian daripada latihan sekitar jam 1 tengah hari.

Katanya, situasi itu menyebabkan seramai 12 peserta pengsan serta sawan.

Berikutan itu, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh (HSB ) mengaktifkan Pelan Kecemasan MCI (Mass Casualty Incidence) membabitkan hospital itu, HKL, Hospital Selayang (HS), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam sejurus menerima laporan.

Menurutnya, 16 peserta ditempatkan di zon merah, seorang di zon kuning dan 44 di zon hijau.

“Tiga pelatih yang kritikal dirujuk ke HSB, tiga lagi dirawat ke HKL, dua masing-masing di Hospital Selayang dan HTAR, dan enam mangsa dirawat di beberapa hospital lain,” katanya – berita harian