SELAMA: Tiga mangsa tanah di Kampung Teras, Ijok, dekat sini, tahun lalu, menerima rumah baharu daripada Yayasan Perak, baru-baru ini.

Penyerahan kunci di bawah Program Sayangi Rumahku itu disempurnakan Timbalan Yang di Pertuan Dewan Undangan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Hadir sama dalam majlis penyerahan di Kampung Tersusun Redang Panjang, Sungai Segar ialah Pengurus Besar Yayasan Perak, Azrul Sani Ibrahim.

Menurut Yayasan Perak, penerima bantuan itu ialah Abdul Rahman Hijazi Din, 53 tahun, Rasibah Nik Hussin, 73 tahun dan Milah Binti Che Pie, 52.

Mereka merupakan mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Teras, Ijok pada bulan Oktober tahun 2019 yang lalu.

Pada 25 Oktober tahun lalu, seorang lelaki warga emas maut akibat tertimbus tanah runtuh yang menghempap rumahnya di Kampung Teras.

Yayasan Perak melahirkan penghargaan ke atas usaha pihak pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Selama yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan pembinaan rumah itu.

Mereka turut menghargai keprihatian Khalil dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Azrul Sani berharap Program Sayangi Rumahku akan terus dilaksanakan, seterusnya dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.

Menurutnya, program itu menyediakan kemudahan asas dan kediaman yang selesa, tanpa mengira latarbelakang agar mereka mendapat sebuah harapan baru dalam menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.