SLIM RIVER – Manifesto Harapan Perak dilancarkan baru-baru ini yang menyentuh penyerahan hak milik tanah peneroka Felda hanyalah janji kosong semata-mata.

Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata, memberi hak milik peneroka Felda sudah lama dilakukan di kawasan masing-masing.

Katanya, ini termasuk di kawasan Felda Sungai Behrang dan Felda Gugusan Gunung Besout yang kebanyakannya sudah diberikan hak milik tanah.

“Di kawasan saya sebagai contohnya di Felda Trolak Utara, Felda Trolak Selatan sudah selesai diberi hak milik dan cuma sedikit di Felda Trolak Timur.

“Di Felda Gugusan Besout hanya tinggal lebih kurang 60 orang sahaja yang belum terima hak milik daripada lebih kurang 1200 peneroka di kawasan itu,” katanya.

Mohd Khusairi yang juga Ketua Bahagian BN Tanjung Malim berkata, pihaknya tidak tahu bagaimana manifesto Harapan Perak dapat dilaksanakan kerana hampir kesemua peneroka Felda sudah diberikan hak milik masing-masing.

Katanya, tidak hanya peneroka diberikan hak milik tanah, malah begitu juga di kampung baharu serta kampung tradisi turut diberikan hak mereka.

“Kita tidak janjikan sampai 999 tahun seperti yang mereka janjikan satu ketika dahulu tetapi kita janjikan 99 tahun yang merupakan salah satu tempoh yang sesuai untuk sesebuah kerajaan negeri,” katanya.