Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Kaum Cina terutama golongan nelayan di Bagan Datuk bakal menikmati pelbagai faedah selain apa yang telah mereka kecapi pada hari ini sekiranya Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat menjadi wakil mereka selepas Pilihan Raya ke-14.

Ini berikutan pengumuman 18 ikrar yang dibuat calon BN Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pelancaran Manifesto Khas Bagan Datuk untuk Masyarakat Cina semalam.

Manifesto khas itu yang akan dilaksanakan bagi tempoh lima tahun akan datang telah dilancarkan di Bagan Datuk Waterfront dengan kebanjiran lebih 3,000 masyrakat Cina tempatan dan luar.

Menurut Zahid pelbagai projek dengan kebanyakkannya menfokuskan kepada kebajikan serta meningkatkan taraf ekonomi golongan nelayan seperti program Komuniti Agroprenuer akan dilaksanakan bagi menambahbaik inisiatif yang telah dijalankan selama ini.

Katanya tumpuan turut diberikan dalam soal pendidikan, perumahan dan sosial seperti rumah-rumah ibadat.

“Kita jua ada tambahan 10 ikrar yang sama rata seperti manifesto untuk kaum India, seperti peruntukan pesta tanglung dan lampu untuk setiap sekolah kebangsaan rendah (Cina) di Bagan Datuk Waterfront, setiap tahun.

“Selain itu, kita akan membina jalan-jalan baru seperti bagan nelayan, membaiki rumah-rumah tokong tertentu, melantik seorang pegawai khas hal ehwal Cina khusus untuk Bagan Datuk, menyediakan tempat pembakaran dan pembuangan sampah di semua bagan-bagan di Bagan Datuk dan membaiki lampu-lampu jalan,” katanya.

Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam berkata bantuan untuk golongan warga emas dan mereka yang sakit serta miskin dengan peruntukan rawatan serta perubatan juga akan disediakan.

Pengumuman manifesto itu juga diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Cina dan orang ramai yang hadir dalam Pesta Tanglung dan Lampu di sekitar perkarangan Jeti Bagan Datuk.

Kehadiran 3,000 pengunjung yang datang dari jauh dan dekat memeriahkan lagi festival yang turut mengetengahkan persembahan pelbagai budaya dan kaum.

 

 BERITA BERKENAAN : Hadi Yakin Keputusan Saman Memihak Dirinya

1/3