IPOH: Tindakan melulu pembangkang mengaitkan kedudukan kewangan kerajaan negeri dengan pengurusan operasi Movie Animation Park Studio (MAPS) bukan sahaja satu strategi tidak rasional malah membuktikan kekeliruan mereka dalam mencipta isu untuk kepentingan politik.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor,Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid berkata kenyataan pembangkang mengenai risiko yang dihadapi kerajaan negeri berhubung operasi MAPS langsung tidak masuk akal.

Katanya, perihal berkaitan tahap pembinaan dan kedudukan kewangan taman tema di Meru Raya itu sama sekali tidak berkait dengan dasar-dasar kerajaan negeri.

“Mereka langsung tidak tahu membezakan antara kerajaan dan operasi syarikat dan inilah yang menyebabkan mereka ini tidak boleh dipercayai oleh rakyat, kerana perkara ringkas dan mudah seperti ini pun tak boleh dibezakan.

“Kerajaan negeri mempunyai sedikit saham di dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), begitu juga PKNP mempunyai sejumlah kecil saham di Perak Corporation Berhad (PCB) dan PCB juga mempunyai sedikit saham di Animation Theme Park Sdn Bhd.
“Jika kita rujuk kepada pelbagai lapisan ini, ianya begitu jauh antara kerajaan negeri dan pengurusan dan kewangan MAPS. Ini menunjukkan pihak pembangkang cuba mencipta sebuah isu hanya disebabkan kepentingan politik,”katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di MAPS, di sini hari ini.

Mohd Zahir berkata dakwaan pembangkang mengenai pengurusan saham yang mendatangkan kerugian ratusan juta kepada kerajaan negeri di MAPS juga adalah tidak benar sama sekali.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Farid Abd Aziz berkata MAPS adalah sebuah perniagaan yang bersifat jangka panjang dan cabaran untuk menjana keuntungan semula adalah cabaran yang kebiasaannya dihadapi oleh kebanyakan industri taman tema.

Katanya, tempoh normal bagi sesebuah taman tema untuk mengaut pendapatan mengambil masa sekitar lima hingga 10 tahun dan buat masa ini bertumpu kepada kos penyelenggaraan untuk memastikan kualiti dan keselamatan taman tema tumpuan ramai itu kini.

“Kami yakin dan percaya bahawa MAPS akan memberi pulangan pelaburan yang munasabah dan akan dicapai dalam tempoh diramalkan, selain menyumbang keada pembangunan ekonomi terutama segi hospitaliti dan industri jangka panjang di Perak,”katanya lagi.
Menyentuh mengenai pembukaan Dream Zone, Mohd Farid berkata pihaknya masih menantikan keputusan kajian daripada pihak penilai untuk memastikan kami memenuhi syarat teknikal pemilik harta intelek yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat bertaraf dunia iaitu Universal Studios.

“Sekiranya semua syarat teknikal telah dipenuhi dan analisa rangka kerja Dream Zone itu diteliti maka jika tiada sebarang halangan kita akan membuka Dream Zone kepada orang ramai menjelang bulan Jun ini.
“Buat masa ini, pihak kami juga tidak membayar sebarang royalti kepada Dream Zone kerana ianya masih belum mula beroperasi, bukanlah seperti yang didakwa oleh parti politik berkenaan,”ujarnya lagi.

Menurut Mohd Farid, MAPS tetap mencatatkan bilangan pengunjung yang ramai terutama lagi pada musim cuti sekolah dan baru-baru ini merekodkan seramai 6,000 orang pada Sabtu dan Ahad.
Malah, Mohd Farid berkata MAPS turut menyampaikan berita gembira kepada semua pemegang pas tahunan dan pas Perak di MAPS.

“Sebagai penghargaan kami kepada mereka yang memahami konsep jangka panjang perniagaan MAPS, secara automatik tempoh kesemua pemegang pas-pas tersebut telah dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini,”ujarnya lagi.