IPOH: Pihak Movie Animation Park Studio (MAPS) amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa pelakon Ardell Aryana apabila cermin keretanya dipecahkan ketika percutian keluarga di taman tema itu di sini, Ahad lalu.

Pihak MAPS di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata, mereka telah menghubungi Ardell Aryana bagi menyatakan permohonan maaf dan kekesalan di atas kesulitan yang dialami oleh beliau dan keluarganya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak MAPS masih menjalankan siasatan berhubung kejadian yang berlaku dan memberi jaminan tidak akan berkompromi berkaitan dengan soal keselamatan pengunjung di taman tema berkenaan.

“Pihak pengurusan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan servis khidmat pelanggan kami.

“Kami juga akan terus menambah baik serta memberikan latihan-latihan khidmat pelanggan kepada semua kakitangan di sini bagi melindungi keselamatan dan meningkatkan tahap kepuasan para pengunjung MAPS,” kata kenyataan itu.

Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin di dalam status yang dimuat naik di laman sosialnya menyatakan rasa kesal apabila dua cermin keretanya dipecahkan di samping satu cermin kereta seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Zarul.

Lebih mengecewakan, pelakon itu mendakwa mereka terpaksa menunggu lebih dua jam tanpa sebarang bantuan daripada pihak MAPS.

Kenyataan MAPS memaklumkan bahawa, jumlah kakitangan telah ditambah terutama di musim cuti sekolah dan juga cuti-cuti umum bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan keselesaan pengunjung.