IPOH – Setelah sah menamatkan perjanjian lesen (IP) dengan syarikat  Dreamworks sejak 31 Julai 2018, lalu, Taman Tema Animasi (MAPS), kini sibuk membuat perancangan baharu bagi mempromosikan taman tema berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafeii Abdul Gaffor berkata, penamatan IP berkenaan membolehkan MAPS mengadakan promosi besar-besaran dalam usaha menarik kunjungan orang ramai terutamanya pelancong.

“Kita dah tamatkan IP dengan Dreamworks pada 31 Julai lalu dan sekali gus menyaksikan hampir 80 peratus peralatan milik Dreamworks sedang dalam proses untuk dibuka oleh syarikat berkenaan.

“Selain peralatan, watak-watak animasi Dreamworks seperti Casper, Megamind dan lain-lain juga sudah tidak bersama dengan kita.

“Bagaimanapun, buat masa kita ada Boboiboy dan kita dalam proses membawa masuk watak-watak animasi baru kelak,” katanya.

Shafeii berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Promosi Malaysiaku Merdeka bersama Boboiboy di Silveritage Medan Gopeng, semalam.

Tambah Shafeii, orang ramai juga berpeluang menyertai peraduan bagi mencipta nama segmen baharu yang bakal dibuka pada 31 Ogos bagi menggantikan segmen lama, Dreamzone .

Katanya, peraduan ini dibuka mulai 13 hingga 25 Ogos ini di media sosial dan pemenang akan diumumkan pada 27 Ogos sebelum majlis penyampaian hadiah pada malam 31 Ogos.

Sementara itu, Shafeii berkata, orang ramai berpeluang menikmati harga tiket bernilai RM30 bagi memasuki MAPS pada, 31 Ogos 2018.

“Orang ramai juga boleh  menikmati harga tiket yang dijual pada kadar RM61 bagi dewasa, kanak-kanak dan warga emas sempena promosi Malaysiaku Merdeka di MAPS mulai18 Ogos hingga 17 September 2018

“Mereka juga boleh menikmati tiket pada harga RM35 bagi evening pass iaitu kemasukan mulai 5 petang hingga 10 malam,” katanya – sinar