LENGGONG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memberi kuasa sepenuhnya kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjalankan siasatan ke atas dakwaan menyeleweng dan salah guna kuasa terhadap Tan Sri Annuar Musa.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang keputusan terhadap siasatan itu juga akan dibuat oleh Majlis MARA selepas laporan penuh dibentangkan oleh Jawatankuasa Audit Dalaman Mara.

“Urusan harian MARA kita kementerian tidak terlibat tetapi sebaik keputusan telah dibuat oleh juruadit dalaman (MARA) ianya akan dibawa ke Majlis Mara pula dan Majlis MARA pula akan buat keputusan seterusnya.

“Keputusan itu baru lah akan dihantar kepada Menteri, tetapi sekarang masih lagi belum menerima sebarang laporan, ianya masih dalam audit dalaman MARA punya tanggungjawab,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Parlimen Lenggong, di sini, pada Sabtu.

Baru-baru ini Pengerusi Sementara MARA Datuk Dr Yusof Yacob berkata Annuar akan dipangil dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Katanya siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung isu itu kini dalam peringkat akhir dan Annuar akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.