LUMUT, 22 DIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 29 set bubu naga yang dipasang secara haram di kedudukan 5.4 batu nautika Barat Daya Pulau Pasir Hitam, Taiping pada Sabtu.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang semasa bot penguat kuasa melakukan tugas rondaan.

“Pasukan telah mengesan sesuatu yang mencurigakan pada permukaan air dan mendapati penanda bubu naga yang dipasang secara haram.

“Pihaknya bertindak merampas 29 set bubu naga berkenaan di atas kesalahan melanggar syarat penggunaan peralatan menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, peralatan bubu naga tersebut dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu Lumut untuk siasatan lanjut.

“Penggunaan peralatan bubu naga tersebut adalah satu kesalahan dan berpotensi memusnahkan biodiversiti marin di perairan Perak.

“Nelayan pesisir pantai diingatkan untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, pendatang tanpa izin serta lain-lain kegiatan jenayah kepada Pusat Operasi Maritim negeri di talian 05-6838737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123,” katanya. – Sinar Harian