MARK Zuckerberg hari ini mencatat rekod peribadi bersejarah.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook (FB) itu kini bukan sahaja seorang bilionair, tetapi juga sudah mencapai status centibillionaire.

Centibillionaire adalah individu yang bernilai sekurang-kurangnya AS$100 bilion.

Dia berjaya melepasi angka itu selepas saham di rangkaian sosial berkenaan melonjak.

Zuckerberg menyertai pengasas Amazon, Jeff Bezos dan pengasas Microsoft, Bill Gates, yang turut berada dalam kumpulan itu.

Zuckerberg mengasaskan Facebook dari bilik asrama ketika bergelar penuntut Harvard pada tahun 2004.

Dia kini merupakan pengerusi dan pemegang saham pengendali Facebook.

Kekayaan Zuckerberg meningkat apabila stok Facebook naik 6.5% pada hari Khamis, sehari selepas syarikat berkenaan melancarkan klon TikTok, Reels, di Instagram.

Khamis lalu, Facebook mencapai rekod baharu dengan 3 bilion pengguna di seluruh platformnya, termasuk WhatsApp dan Instagram.

Syarikat itu menyatakan ia mendapat keuntungan memandangkan keaktifan pengguna di seluruh dunia sejak Mac lalu, susulan perintah berkurung akibat wabak COVID-19.

Saham Facebook meningkat hampir 30% setakat ini tahun ini, sekali gus menyumbang kepada penambahan  AS$22 bilion kepada kekayaan Zuckerberg.