MUALLIM: Masalah anjing liar yang semakin serius di beberapa kawasan di sini bukan sahaja mengundang penyakit berbahaya seperti Rabies, malah menyebabkan kemalangan jalan raya kepada penunggang motosikal.

Insiden yang menimpa dua individu di Slim River mengukuhkan dakwaan mengenai kejadian yang tular di laman Facebook baru-baru ini, apabila seorang lelaki patah tulang rusuk ketika mengelak anjing liar yang melintas.

Suara Perak menemui isteri kepada lelaki berkenaan, Zanariah Aziz, 48, dari Rumah Awam 3, Jalan Kuala Slim yang memberitahu, suaminya kini terlantar di Hospital Slim River akibat insiden itu.

Sehubungan itu, dia mahu pihak berwajib mengambil tindakan segera berhubung masalah anjing liar.

“Isu ini bukan baru tetapi sudah berlarutan sejak dua tiga bulan lepas, kalau boleh lihat di tepi-tepi jalan sekitar Slim River dan Behrang 2020 memang banyak anjing liar.

“Saya pun tidak tahu hendak buat macam mana, viralkan pun sudah…aduan pun sudah kepada pihak Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) tetapi masih belum selesai masalahnya.

“Kalau kereta yang langgar anjing mungkin anjing mati, tetapi bagaimana pula jika penunggang motosikal yang terlanggar, bukankah boleh menyebabkan kematian kepada mangsa? kata Zanariah yang ditemui di Hospital Slim River pada Selasa.

Zanariah menambah kemalangan itu berlaku ketika suaminya, Yusoof Lahman, 54, mengelak daripada melanggar anjing ketika menuruni jambatan, menyebabkan empat tulang rusuknya patah di samping cedera di bahagian tangan dan badan.

Seorang lagi mangsa, Shaik Nasrul Shah Shaik Badusha, 22, dari Kampung Jaya Kuala Slim menceritakan kembali detik bagaimana dia patah tulang bahu disebabkan anjing liar.

“Sedih juga disebabkan saya ditimpa kemalangan dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, waktu itu lebih kurang jam 11.30 malam semasa saya hendak balik dari kerja.

“Bila lalu di satu selekoh tiba-tiba ada anjing melintas dan keadaan masa itu memang gelap kerana lampu jalan tidak berfungsi…saya cuba mengelak dan terlambung sedikit lalu jatuh tergolek sehingga patah tulang bahu,” dakwanya.

Dia mengharapkan agar pihak berwajib mengambil pendekatan terbaik untuk mengatasi lambakan anjing liar di kawasan terbabit.

Sementara itu Yang DiPertua MDTM, Mohd Syukri Azaari ketika ditemui menjelaskan dasar baharu yang digunapakai kini membataskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membendung bilangan anjing liar.

“Dulu ketika dibenarkan untuk tembak anjing, kita mampu membunuh sehingga 300 ekor anjing dalam masa tiga hari jika dibandingkan dengan sekarang yang hanya mencecah 30 ekor sahaja.

“Ini kerana dasar baru yang lebih berkebajikan dan menjadi kekangan untuk kita tangkap lebih banyak anjing, pihak kita juga menghadapi kesukaran untuk menangkap anjing melalui tangkapan guna jaring dan tangguk,” katanya Syukri.

Jelasnya, MDTM menerima aduan berkaitan anjing liar hampir setiap hari dan telah membuat operasi namun memerlukan kerjasama dengan Jabatan Veteriner untuk menangkapnya.

“Dasar Kerajaan tidak lagi membenarkan kita untuk menembak mati anjing, ia akan dikejar dan ditangkap hidup-hidup sebelum disuntik dengan pelali lalu disuntik hingga mati,” katanya.