IPOH, 17 Dis — Kerajaan negeri Perak dicadangkan agar menangani masalah haiwan perosak dan binatang liar dengan segera untuk memastikan usaha memperkasa sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama di kawasan kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata haiwan seperti babi hutan dan kera kini menjadi kebimbangan penduduk kerana sering merosakkan tanaman sebelum hasilnya dapat dituai.

“Kita semua akui bahawa sektor pertanian amat penting untuk ekonomi negeri. Disebabkan itu kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan sokongan sama ada kepada peladang, penternak atau nelayan.

“Namun, ada masalahnya. Tanaman termasuklah sawah padi kini turut rosak akibat serangan babi hutan belum sempat dituai dan ini meresahkan orang kampung,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Adun Chenderoh Datuk Zainun Mat Noor yang bersetuju dengan Hasnul Zulkarnain turut mencadangkan kerajaan negeri memasang pagar elektrik bagi mengelak kawasan kebun atau ladang dimasuki haiwan liar yang merosakkan tanaman.

“Babi hutan ini memang musuh tanaman, sekarang tidak terkawal sekeliling rumah pun ada dan inilah orang kampung macam kami kena hadapi dan sangat merisaukan,” katanya. 

Zainun turut menarik perhatian apabila mencadangkan agar anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dibekalkan dengan senjata untuk membolehkan mereka menembak haiwan liar yang bukan sahaja menganggu tanaman, tetapi mengancam nyawa penduduk kampung. 

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2021 negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM24.2 juta kepada Jabatan Pertanian bagi tujuan belanja mengurus dan RM8 juta bagi perbelanjaan memperkasa sektor pertanian khususnya tanaman padi.

Sementara itu, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) berkata pihaknya merakam setinggi penghargaan dan sebulat suara menyokong Saarani dan rakan seperjuangan yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco). 

“Kalau boleh kita sama-sama duduk cari kesamaan. Bertikam lidah itu biasa, ketegangan dah berlaku jadi biarkan, yang penting…apa yang akan kita hadapi secara bersama, ini belanjawan kita,” katanya. 

— BERNAMA