PENERBANGAN Malaysia Airlines (MAS) MH134 dari Brisbane ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada jam 11.18 malam tadi akibat isu teknikal yang berlaku selepas pesawat itu berlepas.

MAS dalam kenyataan berkata, di atas faktor keselamatan penumpang dan anak kapal, juruterbang yang bertugas membuat keputusan untuk berpatah balik ke Brisbane.

“Penerbangan itu yang dijadualkan mendarat di Kuala Lumpur pada jam 5.50 pagi ini, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada jam 12.34 malam. Pemeriksaan teknikal ke atas pesawat terbabit sedang dijalankan.

“Penginapan, makanan dan pengangkutan untuk penumpang pesawat berkenaan sudah diuruskan. Pihak kami juga berusaha keras memastikan penumpang dapat tiba ke destinasi mereka dalam waktu terdekat,” katanya.

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan berkenaan sehingga menyebabkan rancangan perjalanan terganggu.

Sementara itu, menurut laman sawang www.flightstats.com, penerbangan berkenaan selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.50 pagi, lewat dua jam dari masa yang dijadualkan berikutan masalah yang dihadapi -hmetro