IPOH : Cadangan pembentukan kerajaan baru di Perak masih belum ada kata sepakat yang muktamad.

“Setakat ini belum ada apa-apa perkembangan baru lagi,” kata pengerusi Umno negeri Saarani Mohamad

Saarani bagaimana berkata, Umno, PAS dan “pihak lain” telah mengadakan perbincangan khusus sebagai persediaan jika berlakunya pertukaran kerajaan di Perak.

“PAS dan Umno sudah ada perbincangan khas. Kami bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Saarani yang juga Adun Kota Tampan dicalonkan oleh Umno negeri sebagai menteri besar baru.

Menurut Saarani, ketika ini, parti itu masih menunggu “signal” atau panggilan daripada Istana Perak untuk menghadap.

Katanya, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan beliau dengan menteri besar, Ahmad Faizal Azumu.

Selain Umno, PAS , PPBM juga dilaporkan akan menghantar nama calon menteri besar masing-masing.

“Ketiga-tiga parti akan hantar nama calon MB untuk diputuskan oleh Sultan Perak,” kata Saarani 2 Mac lalu.

Shaarani turut memaklumkan Muafakat Nasional (MN)yang terdiri oleh Umno dan PAS juga bersetuju untuk bergabung dengan PPBM bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada Isnin, Faizal memberi bayangan beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk kekal sebagai menteri besar Perak dan akan menubuhkan kerajaan baru bersama Umno dan PAS.

Daripada 59 kerusi Dun Perak, PH kini menguasai 28 kerusi, manakala BN mempunyai 25, PAS (3), PPBM 2 dan Bebas 1.