IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kesal dengan sikap segelintir rakyat di negeri ini yang masih mengambil mudah ancaman wabak Covid-19.

Malah ramai di antara mereka yang tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak tersebut.

Ahmad Faizal berkata, sikap sedemikian akan mengakibatkan risiko besar kepada negara jika berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Katanya, dia turut bersimpati dengan nasib yang menimpa kakitangan perubatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak susulan jangkitan virus tersebut baru-baru ini.

“Masuk hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, namun amat menyedihkan apabila saya yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara peringkat negeri Perak dimaklumkan bahawa masih ramai rakyat di negeri Perak tak ambil endah tentang perkara itu.

“Mereka ambil mudah tentang wabak Covid-19 yang sedang kita perangi ini, saya merayu sangat kepada orang ramai janganlah sampai kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih keras.

“Amatlah tidak adil kepada mereka yang bersusah payah berkorban masa dan tenaga untuk kita semua, tetapi kita tidak menghiraukan nasihat kerajaan dan terus keluar, sehingga boleh menyebabkan wabak ini tidak dapat dibendung.

“Saya berasa amat sedih kerana our front liners iaitu kakitangan perubatan daripada JKN yang telah pun dijangkiti Covid-19.

“Kita sebagai rakyat cuma diminta duduk di rumah… duduk diam-diam dir rumah dan mereka ini (front liners) terpaksa tinggalkan anak isteri untuk meneruskan tanggungjawab kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak swasta dan orang ramai yang telah menyalurkan sumbangan kepada pihak kerajaan bagi menangani wabak ini.

“Kita mengalu-alukan kepada semua pihak jika dapat memberi bantuan atau sumbangan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Anda boleh menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak, dan kerajaan negeri akan salurkan bantuan itu kepada golongan sasar,” katanya lagi.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bendahari Negeri Perak CIMB di nombor akaun 8601170183