IPOH– Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat masih terlalu awal baginya untuk memberi pandangan individu yang layak untuk mengambil alih jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Malah ujarnya, tumpuan kini lebih menjurus kepada cara untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Perak memenangi Piala Malaysia, seterusnya membawa pasukan itu mencipta lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

“Ada desakan daripada beberapa penyokong bola sepak Perak untuk saya memegang jawatan Presiden Pafa, pada saya buat masa ini biarlah kita memikirkan tentang bagaimana hendak meraikan kejayaan bersama rakyat.

“Saya percaya Pafa sebagai sebuah persatuan tentunya mempunyai peruntukan- peruntukan dalam perlembagaan persatuan bagaimana untuk meneruskan operasi dalam berpersatuan.

“Bagi saya terlalu awal untuk cadangkan siapa akan ambil alih kerusi presiden namun saya yakin barisan Exco dan jawatankuasa sedia ada tentunya mampu menggalas tanggungjawab buat masa ini,” katanya kepada pemberita di International Ipoh Fashion Week di Hotel Syeun pada Jumaat.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa kelab penyokong bola sepak perak yang mencadangkan beliau menggantikan Hasnul Zulkarnain Munaim sebagai Presiden Pafa yang baharu.

Antara kelab yang menyatakan sokongan itu Die Hard Fan Perak, Ipoh City Fan, Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Pafa Fan Club Batu Gajah, Support Fan of Perak dan Seladang Fan Club.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menyentuh tentang perletakan jawatan yang dibuat oleh Hasnul semalam dan menyatakan penghargaannya di atas jasa beliau selama ini.

“Saya mahu menyatakan rasa penghargaan daripad pihak kerajaan Perak kepada Hasnul atas segala jasa baktinya membawa pasukan Perak hingga berjaya memenangi Piala Malaysia.

“Keputusan beliau untuk meletakkan jawatan merupakan sesuatu yang saya kesali kerana dia telah jalankan tanggungjawab dengan baik, namun keputusan itu mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai.

“Dan kesal terhadap kesilapan kecil yang dilakukan menyebabkan dia buat keputusan besar, bagi menjanjikan pasukan Perak lebih berjaya di masa akan datang,” katanya lagi.