SENIBINA masjid sememangnya menjadi satu tarikan pelancongan yang tidak dapat dinafikan kuasa magnetnya. Lihat sahaja Masjid Biru di Istanbul, Turki yang sentiasa dikunjungi umat Islam mahupun bukan kerana keindahan senibinanya.

Di Perak, masjid-masjid indah tersergam bukan sahaja Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar namun dibina di seluruh negeri. Kecantikan sesebuah masjid tidak hanya menarik hati jemaah namun menggamit minat para pelancong.

Bagi penggemar senibina dan rekabentuk bangunan yang unik dan menarik, berikut disenaraikan tujuh masjid yang cantik dan unik di Negeri Perak.

1. Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Berkubah keemasan, ia juda dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, masjid ini dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia. Kubahnya ya ng berwarna emas dan bentuk menara yang unik adalah bukti keindahan senibina Islam. 

Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917. Berbentuk octagon, ia memiliki empat buah menara setinggi 126 kaki dan dikelilingi oleh kubah-kubah bergaris pusat 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.

2. Masjid Al-Badr, Pulau Pangkor

Masjid Al-Badr Seribu Selawat atau Masjid Terapung ini terletak di Teluk Gadong, Pulau Pangkor. Mula dibina pada 7 Mac 2014, masjid itu diilhamkan oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. 

Masjid yang kini menjadi mercu tanda terbaharu Pulau Pangkor mengetengahkan kaligrafi 1,000 selawat dan hiasan beridentitikan negeri Perak pada dinding masjid.

3. Masjid An-Nur, UTP Seri Iskandar

Masjid An-Nur siap dibina pada tahun 2005 dan peranannya melangkaui fungsi rumah ibadat kerana ia juga merupakan pusat pembelajaran.

Masjid ini juga merupakan sebuah masjid terapung, mengadaptasi pendekatan senibina moden yang mementingkan keselesaan dan privasi jemaah. Rekabentuknya memaksimumkan pencahayaan alami daripada sinaran matahari. Kubahnya yang berbentuk loceng seakan-akan bentuk kubah Masjid Asy-Syakirin KLCC. Uniknya Masjid An-Nur ialah binaan 80 kubah mini di aats bumbungnya.

4. Masjid Muhammadiah, Tasek, Ipoh

Terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, masjid yang dikenali sebagai Masjid Cina Ipoh ini merupakan satu-satunya masjid di luar negara China yang menggunapakai identiti senibina bangunan tradisi Cina iaitu ‘bumbung panjang’ dan ‘bumbung lima’.

Warna merah menjadi warna utama pada struktur tiang, menara dan pintu gerbang. Selain itu, pohon buluh yang sinonim dengan tradisi Cina banyak ditanam di taman-taman kecil di sekitar masjid. Bumbungnya pula dihiasi dengan motif bunga raya menggantikan motif teratai yang biasanya digunakan dalam senibina Cina.

5. Masjid Al-Khairiah Seribu Doa, Pulau Pangkor

Terletak di Kampung Sg Pinang Kecil, Pulau Pangkor, masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Cina Pangkor. Ia turut mengabadikan gabungan senibina berunsurkan ketimuran dari negara China dan kehalusan seni identiti negeri Perak dalam hiasan dan rekabentuknya. 

Masjid ini dipanggil masjid 1000 doa kerana mengandungi kaligrafi 1000 doa daripada al-Quran dan hadis pada dinding-dindingnya.

6. Masjid Ihsaniah Iskandariah, Padang Rengas

Lazimnya masjid dibina menggunakan batu bata, kayu dan simen, namun berbeza pula dengan masjid ini yang menggunakan buluh sebagai bahan binaan utama.

Masjid lama ini dikenali dengan nama masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kuala Dal, Padang Rengas, Perak yang telah dibina pada tahun 1936.

Dipanggil juga Masjid Sarang Burung kerana bentuk dan bahan binaannya, masjid ini dilaporkan mengambil senibina Istana Kenangan di Bukit Chandan sebagai ilham senibinanya.

Keseluruhan dinding kelerai masjid ini bermotifkan berlian merupakan anyaman buluh minyak yang telah disiapkan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

7. Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah

Terletak di Kampung Serani, Batu Gajah, masjid ini dibina semula bagi menggantikan struktur asalnya yang diperbuat daripada kayu. Masjid asal yang telah dibina sejak tahun 1930-an ini, digantikan dengan batu bata pada tahun 1970-an. Pada akhir tahun 2006, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menitahkan agar masjid ini dibina semula.

Masjid Toh Puan Besar Hatijah sebelum ini dikenali sebagai Masjid Daerah Batu Gajah dan masjid ini merupakan masjid pertama dirasmikan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35.

Keindahan masjid ini terletak pada hiasan dalamannya yang menggunakan marmar dan ukiran bunga-bungaan. Sebahagian dindingnya dikemaskan dengan kaca berwarna-warni yang memantulkan sinaran cahaya matahari yang menarik perhatian.

Maka, inilah senarai tujuh buah masjid yang cantik di Perak. Jika anda berkesempatan mengunjungi kesemua masjid ini, abadikanlah gambar kenangan agar anda tidak lupa akan keindahan pemandangan dan rasa hati anda ketika itu.