IPOH: Sebanyak 668 masjid di seluruh negeri Perak menjadi kumpulan pertama institusi masjid di Malaysia yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Serentak dengan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut memperkenalkan sistem perakaunan atas talian yang dikenali Sistem Pengurusan Kewangan w-Akaun Masjid (SPeAK) bagi membolehkan kerajaan negeri melalui JAIPk memantau akaun masjid dari semasa ke semasa.

511a3961-e0f7-4366-95b2-f0172b59181cSPeAK yang dibangunkan dengan kerjasama dan wakaf syarikat berkaitan kerajaan, KPerak Implementation & Coordination Corporation (KPerak), juga dikatakan yang pertama diperkenalkan di kalangan institusi masjid di negara ini.

Hampir 1,000 pengerusi dan bendahari masjid dari seluruh Perak yang diketuai Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin melafazkan IRB di Institut Takdbiran Awam Perak (INTIM) di sini pada Isnin.

Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

a6a497c2-66ff-4778-b040-3dc55b90c6e2

Mohd Yusop berkata, IBR itu bukan bermakna masjid di Perak terlibat dengan isu rasuah tetapi sebagai peringatan kepada pihak pentadbiran di samping mengurangkan tohmahan yang disebabkan persepsi negatif.

“Setakat ini kita hanya dengar tohmahan-tohmahan yang disebabkan oleh persepsi negatif dan diharap dengan IBR dan SPeAK, tidak ada lagi tohmahan kerana sistem pengurusan kewangan masjid lebih telus,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Beliau memberitahu, sebagai permulaan 14 buah masjid utama dan masjid daerah di negeri ini akan menggunapakai SPeAK dalam masa terdekat, sebelum diperluaskan ke masjid-masjid lain dari semasa ke semasa.
fc74d3f7-88e6-4995-aeda-836a5ef61f45Sementara itu, Nooraziah berkata, tohmahan mengenai salah laku yang mungkin disebabkan oleh kelemahan urus tadbir yang boleh diperbaiki dan SPRM sentiasa bersedia untuk membantu.

Dalam pada itu, Drs Nizar di dalam ucapannya berkata, IBR boleh memupuk semangat intergriti di dalam diri setiap individu, termasuk mereka yang terlibat secara langsung di dalam institusi agama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan masjid supaya mematuhi segala prosedur yang telah digariskan supaya tidak timbul lagi persepsi negatif di kalangan masyarakat.