PUCHONG: Pengurusan Masjid Kampung Seri Aman di sini terpaksa menanggung beban hutang RM400,000 dengan kontraktor ekoran tidak cukup dana walaupun masjid itu siap dibina pada Mei 2017.

Nazir masjid, Ibrahim Mokhtar, berkata kos pembinaan keseluruhan masjid itu berjumlah RM9.5 juta, hasil sumbangan orang ramai dan penduduk tempatan, yang mula dibina pada awal 2014.

Katanya, sepanjang pembinaan, pihak pengurusan membuat pembayaran secara berperingkat kepada pemaju namun mula berdepan masalah apabila dana diperoleh tidak mencukupi bagi menyelesaikan hutang yang tertunggak.

“Ekoran itu kami masih meneruskan kutipan dana dan pengurusan masjid juga berterima kasih kepada pihak kontraktor yang mendahulukan wang mereka bagi menyiapkan projek terbabit mengikut tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui BH.

Selain penduduk Kampung Seri Aman yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Pulas, masjid itu turut digunakan penduduk kampung berdekatan iaitu Seri Aman Bistari, Aman Hilir, Aman Berkat serta Aman Tengah, bagi mengadakan solat berjemaah dan kegiatan keagamaan.

Pembinaan masjid itu adalah bagi menggantikan surau Seri Nurul Hidayah yang sudah wujud lebih 50 tahun di kampung berkenaan termasuk digunakan untuk sembahyang Jumaat meskipun tidak dapat menampung jemaah yang ramai disebabkan pertambahan penduduk.

Masjid itu mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah dalam satu-satu masa dan turut dilengkapi pejabat masjid, kuarters imam, bilal, dua bilik kuliah, bilik jenazah dan sebuah dewan makan.

Berikutan kesulitan melunaskan bayaran terbabit, Ibrahim berkata pihaknya mengadakan kempen mengutip sumbangan derma orang ramai bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Ibrahim berkata pihaknya juga ingin memperbetulkan persepsi orang ramai yang mempersoalkan kenapa pengurusan masjid masih mencari dana sedangkan pembinaan masjid sudah pun selesai.

Beliau berharap orang ramai dan penduduk memahami keadaan sebenar dan berhenti menuduh pihak pengurusan demi keharmonian bagi melunaskan bayaran yang sudah lama tertunggak dengan pihak kontraktor.

“Menerusi kempen ini, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui tabung yang diletakkan di stesen minyak dan masjid termasuk melalui sistem aplikasi Quick Response (QR) Code Maybank bagi membuat sumbangan terus ke tabung masjid.

“Kempen ini adalah inisiatif kami bagi mengumpul dana bagi melunaskan tunggakan bayaran selain membiaya penyediaan lebih banyak kemudahan seperti sekolah agama integerasi bersebelahan masjid bagi kemudahan pelajar di masa hadapan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu juga boleh menyalurkan derma ke akaun Maybank bernombor 562777210651 atau menghubungi 019-2241094 atau 012-2039600 – Berita harian