KUALA LUMPUR: Sistem penggiliran atau sebarang mekanisme yang sesuai, boleh dilaksanakan oleh jawatankuasa kariah masjid dan surau bagi memberi peluang orang ramai hadir solat berjemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sistem penggiliran itu dapat memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir ke masjid serta surau.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat serta surau juga boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata, kapasiti jemaah akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).