TAPAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat mesti mengambil kepedulian mengenai penagihan dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Beliau berpendapat, di dalam keadaan sekarang, pepatah jangan jaga tepi kain orang sudah tidak relevan lagi.

Menurut beliau, proses perbandaran atau urbanisasi telah menyebabkan masyarakat kurang mengambil peduli mengenai apa yang berlaku di keliling mereka.

Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya peduli apabila kehilangan harta benda sendiri atau berlaku jenayah yang disebabkan penagih.

“Satu kampung diperlukan untuk membesarkan kanak-kanak. Ertinya apabila seseorang kanak-kanak itu mahu dipertingkatkan sahsiahnya menjadi seorang warga di sebuah kampung atau komuniti, ianya bukan hanya melibatkan ibu bapa, melibatkan seluruh kampung itu.

“Di dalam soal dadah, perkara yang sama berlaku. Apabila berlaku urbanisasi, kita tidak berapa peduli tentang apa yang berlaku di keliling kita, terutamanya di kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berucap perasmian serentak sambutan Hari Penjara ke-228 dan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Arena Merdeka, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin.

Terdahulu, pada Khamis, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib berkata, 447 pelajar sekolah seluruh negara yang menjalani ujian saringan air kencing pada dua bulan pertama tahun ini, dikesan positif dadah.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, pada keseluruhannya, kadar penagihan telah dadah di seluruh negara telah menurun tahun ini, berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mahu usaha menurunkan kadar penagihan berulang dan penagih-penagih baru diteruskan oleh AADK.

Di majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan anugerah pangkat kehormat kepada enam penerima, antaranya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepimpinan perangi dadah kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri I merangkap Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail.