GOPENG – Masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng mendesak kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji untuk menghentikan projek pembinaan Mini Hidro yang mendapat tentangan hebat daripada penduduk sejak tahun 2011.

Desakan itu susulan janji yang didakwa terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di samping menjejaskan sumber pendapatan serta alam sekitar di tujuh buah perkampungan yang ada di situ.

Wakil penduduk, Azlan a/l Bahderngui, 50, menuntut supaya pihak yang terlibat tidak lepas tangan dalam menjaga hak masyarakat Orang Asli selain membantah sekeras-kerasnya projek Mini Hidro di Kampung Ulu Geruntum.

Dia yang kecewa dengan situasi semasa di kampung itu turut menyelar tindakan pemaju sebelum ini yang mengakibatkan kemusnahan pokok-pokok dan tanah perkuburan di kawasan itu.

“Bila projek ini diteruskan terjejas dari segala pencarian, sumber pendapatan kerana kehidupan kami bergantung kepada hasil-hasil hutan, bila jadi begini apa kami nak cari?

“Lagipun pencemaran sungai, itulah pendapatan kami, memang kami tuntut janji itu (hentikan projek Mini Hidro), kami pegang janji… masyarakat Orang Asli pegang janji.

“Sehingga kini kami masih belum dapat keputusan tentang projek ini, kami menunggu keputusannya, sekarang ini kita bersabar lagi, mungkin esok sudah hilang kesabaran.

Walaupun mereka tawarkan pampasan sekalipun, kami akan tetap bantah, kita tidak kira apa yang berlaku, nak tangkap…tangkaplah,” katanya.

Ujar Azlan lagi, lebih 1,000 orang masyarakat Orang Asli dari tujuh buah kampung di Ulu Geruntum bersepakat dalam berhadapan dengan isu itu.

Dalam pada itu, Wahngah a/p Bahtangoi, 61, yang merupakan generasi kesepuluh di kampung itu merayu agar kerajaan negeri mengambil tindakan segera serta mendengar masalah yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

“Dari bawah sampai atas (kampung) membantah,kalau projek ini diteruskan kami Orang Asli nak duduk di mana? Duduk atas pokok ke, sungai ke? Kata Orang Asli ada hak, tapi mana hak kami?

“Apabila semua diambil kami nak duduk di mana, anak cucu-cicit, kami generasi yang kesepuluh daripada datuk nenek moyang. Kalau semua Perak Hidro dah ambil..walaupun katanya kecil tapi kami nak duduk di mana.

“Kalau boleh kami merayu kepada pihak Kerajaan terutama Pakatan Harapan, tolong hentikan projek kalau boleh, daripada tahun 2011 kami bantah sampai sekarang, tiada kesudahannya… sampai bila?

“Yang hidup mati, yang sihat kena darah tinggi kerana kami sayangkan tempat ini, tapi mereka berdegil nak buat juga,”katanya.

Mereka ditemui pemberita semasa perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkenaan bantahan terhadap pembinaan empangan hidro di tanah adat, di Ulu Geruntum pada Selasa.

Sebelum ini, projek itu digantung setelah mendapat persetujuan bersama di antara tujuh pihak terlibat dalam projek berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli dan pemaju.

Tujuh pihak yang telah hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil penduduk perkampungan Orang Asli, Jabatan Alam Sekitar, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), syarikat eko-pelancongan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, Asmuni ketika ditemui pemberita berkata pihaknya perlu membuat pertimbangan sewajarnya dari segenap aspek sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya perlu lihat dalam pelbagai sudut, tentunya keputusan terletak kepada kerajaan negeri, saya ke sini untuk melihat keadaan di sini dengan mata kepala sendiri dan membuat penilaian.

“Ada konflik dalam kenyataan kedua belah pihak, ada yang kata tidak lalu kubur manakala penduduk setempat pula dakwa sebaliknya. Begitu juga dengan kerosakan pokok tanaman.

“Projek ini sudah digantung buat sementara waktu, saya akan laporan kepada kerajaan negeri secepat yang mungkin terutama dalam Mesyuarat Exco dan laporan lengkap akan diberikan.

“Setahu saya janji itu (hentikan projek Mini Hidro) bukan sebahagian manifesto, mungkin ia terkandung dalam manifesto tempatan bagi kawasan ini,” kata Asmuni.