KUALA TERENGGANU: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Mat Temin yang dipercayai terbabit dalam kes mencederakan seorang pemuda di Kampung Tok Dir, Chendering, 26 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, Mat Temin atau nama sebenarnya, Mohd Atmin Jusoh, 32, dari Lorong Masjid, Kampung Tok Dir, di sini dipercayai antara tiga suspek yang bertanggungjawab menyebabkan mangsa berusia 22 tahun cedera di peha kiri akibat ditikam menggunakan pisau.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa diserang tiga lelaki dalam kejadian yang bermotifkan rasa tidak puas selepas dua lagi suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan memburukkan mereka.

“Dua rakan Mat Temin masing-masing berusia 20 dan 21 tahun sudah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Bagaimanapun, mereka yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya mengaku tidak bersalah.

“Mereka kini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dan kita sedang menjejaki Mat Temin yang bertanggungjawab menyerang mangsa menggunakan pisau.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Suffian berkata, siasatan mendapati Mat Temin yang mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 turut melanggar perintah Orang Kena Pengawasan (OKP).

Katanya, Mat Temin yang dikenakan perintah berkenaan selama dua tahun sejak 23 Disember 2016 gagal melaporkan diri ke Balai Polis Chendering.

“Ahli keluarga atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya – berita harian