KUALA KURAU – Perlaksanaan sistem mata ganjaran bagi setiap sampah dikitar semula oleh Koperasi Alam Hijau Perak Berhad (Kohijau) dijangka mampu menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal setiap pihak berkuasa tempatan(PBT) di Perak sehingga RM12 juta setahun.

Pengerusinya, Profesor Dr Richard Ng berkata, anggaran itu berasaskan kemampuan Sistem Mata Ganjaran Kitar Semula Kohijau-iCycle diperkenalkan pihaknya, mampu menjimatkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kos keseluruhan pengurusan sampah kerajaan negeri.

Menurutnya, sehingga kini, sistem itu sudah diimplementasi di 70 lokasi di seluruh negara termasuk setiap PBT di Perak.

“Di Perak, sehingga kini kita sudah memproses 60,000 kilogram sampah kitar semula dikumpul dengan lebih 200,000 mata ganjaran diberikan kepada ahli berdaftar.

“Setiap kali proses kitar semula dibuat, sekurang-kurangnya 30 peratus daripada sampah dibuang dapat dilaksanakan proses itu, sekaligus menjimatkan 30 peratus kapasiti sampah dibuang ke tapak perlupusan sampah.

“Penjimatan kapasiti jumlah sampah dibuang ke tapak perlupusan sampah diselia PBT pastinya menjimatkan kos pengurusan sampah tahunan ditanggung mereka,” katanya kepada media pada majlis gotong-royong Perak Yang Bersih dan sesi taklimat Sistem Mata Ganjaran Kohijau-iCycle di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Siakap, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan dihadiri Pemangku Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kerian (MDK), Norhafisah Mohamad.

Richard berkata, Kohijau berjaya membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM18,000 dalam aspek pengurusan sampah sejak sistem mata ganjaran ini diperkenalkan.

Menurutnya, Kohijau kini sudah mendaftarkan 7,000 penduduk Perak menjadi ahli bagi mengimplementasi sistem itu.

“Bagi setiap kilogram sampah dikitar semula, PBT dapat menjimatkan 30 sen kos pengurusan sampah.

“Sekiranya 30 peratus daripada keseluruhan 2.8 juta penduduk Perak mengambil bahagian (dalam kempen kitar semula sampah), pastinya PBT di setiap daerah dapat menjimatkan kos berjuta-juta ringgit setahun di samping memastikan tahap kebersihan terbaik,” katanya.

Richard berkata, melalui sistem ini, masyarakat boleh mengamalkan budaya kitar semula dengan cara sistematik memandangkan mereka tidak perlu melaksanakan pengasingan sampah.

Menurutnya, mereka hanya perlu masukkan dalam beg plastik khas dan buang ke dalam tong sampah Kohijau yang disediakan.

“Mereka yang berdaftar dengan program Kohijau juga berpeluang menukar sampah kitar semula menjadi duit apabila setiap mata ganjaran bernilai 5 sen

“Selain mata ganjaran boleh ditebus dengan wang tunai, penyumbang juga boleh menukar mata ganjaran dengan kupon beli barang oleh beberapa pasaraya terkemuka atau mendermakannya kepada badan-badan amal.

“Dengan cara ini, masyarakat boleh mengamalkan budaya kitar semula sambil membuat kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Norhafisah ketika ditemui menegaskan MDK bakal menempatkan lima tong sampah permulaan di lima lokasi dikenal pasti bagi tujuan itu.

“Pada masa hadapan, kita berharap lebih ramai penduduk yang menyertai program Kohijau sekaligus membantu mengurangkan masalah pembuangan sampah di tempat tidak sepatutnya,” katanya – sinar