Sucre (Bolivia): Seorang wanita berusia 52 tahun mati digigit semut api selepas diikat pada pokok dipenuhi serangga berbisa itu setelah dia dituduh cuba mencuri kereta di Caranavi.

Wanita berusia 52 tahun itu masih hidup ketika diselamatkan polis, tetapi meninggal dunia di hospital akibat kesukaran bernafas disebabkan kerongkongnya bengkak teruk kerana salur udaranya digigit semut api.

Mangsa pada mulanya cuba membantu anak lelakinya yang diikat pada pokok itu oleh orang ramai yang menuduh kedua-dua beranak terbabit cuba mencuri kereta di Caranavi.

Anak perempuan mangsa turut menerima nasib sama. Bagaimanapun dua anaknya itu yang sempat diselamatkan kini semakin beransur pulih.

Menurut laporan media tempatan, ketiga-tiga beranak itu turut dibelasah dan dibakar sebelum diikat pada pokok.