IPOH: Matlamat yang mahu dicapai Transformasi Nasional 2050 (TN50), jauh lebih dinamik berbanding Wawasan 2020 yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan UMNO Perak yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, berbanding Wawasan 2020, TN50 mengumpulkan idea dari rakyat merentasi kaum, agama, budaya dan umur.

Menurut beliau, pendekatan ‘bottom up’ itu sudah pasti melahirkan idea akar umbi untuk dilaksanakan. Adakah idea-idea rakyat jelata ini nak dikatakan sebagai ciplakan Wawasan 2020 sebagaimana tuduhan Tun Mahathir?

“Saya yakin bahawa matlamat yang mahu dicapai TN50 jauh lebih dinamik berbanding Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir.

“Malahan dalam beberapa segi, kejayaan yang telah dicapai oleh negara sejak sepuluh tahun lalu jauh merentasi Wawasan 2020 Tun Mahathir pada 1991,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Tun Mahathir semalam yang menuduh kononnya konsep TN50 diciplak daripada Wawasan 2020.

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Slim dan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata, pada hakikatnya konsep Wawasan 2020 itu sendiri diciplak daripada dua agenda besar negara sebelumnya, iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurutnya, dari segi sejarahnya, Rukun Negara dan DEB diwujudkan selepas tragedi 13 Mei 1969 yang teras utama matlamatnya adalah untuk mewujudkan kestabilan negara, ketenteraman awam dan menyusun semula ekonomi rakyat berbilang kaum.

“Tidak boleh dianggap luar biasa sebenarnya dalam konsep Wawasan 2020 yang dimulakan pada 1991 itu, melainkan sekadar pelengkap kepada hasrat Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) memperkenalkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dan DEB selepasnya.

“Malah kemungkinan konsep Wawasan 2020 itu lahir dari kotak minda para penasihat Tun Mahathir yang 20 tahun sebelumnya turut terlibat memikirkan konsep Rukun Negara dan DEB,” ujarnya.

Khusairi berkata,wawasan ekonomi di dalam Wawasan 2020 juga hanya sekadar kesinambungan daan pembaikan terhadap matlamat yang ingin dicapai melalui DEB.

Di samping itu, beliau menambah, konsep Wawasan 2020 hampir sama dengan Rukun Negara dan DEB kerana tidak ada percambahan idea di kalangan pemikir di peringkat atasan.

Beliau berpendapat, konsep Wawasan 2020 adalah menyuapkan idea pihak atasan untuk dilaksanakan sehingga ke peringkat rakyat marhain atau ‘top down’.

“Wawasan 2020 tidak punya perincian spesifikasi arah tujunya, lebih merupakan kenyataan umum yang sekadar memperkukuhkan semangat pencapaian Rukun Negara dan DEB.

“Hanya Tun Mahathir faham apa matlamat di sebalik konsep Wawasan 2020, satu wawasan ciplak yang hanya sedap dan muluk daripada segi bahasa, tetapi lompong daripada segi perincian dan kabur bagaimana ianya mahu dilaksanakan,” kata beliau.

Menurut Khusairi, selepas beberapa tahun wawasan itu dilaksanakan, hanya segelintir konglomerat baru berjaya diwujudkan, yang hampir semuanya adalah kroni dan mempunyai hubungan akrab dengan Tun Mahathir.

“Tak perlulah saya senaraikan nama-nama mereka di sini, kerana itu bukanlah rahsia umum lagi,” tambahnya.

Sebaliknya, kata beliau, dalam tempoh kira-kira 12 tahun selepas perlaksanaannya, pencapaian ketara Wawasan 2020 lain adalah jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar.

Katanya, rakyat jelata terus berhadapan dengan ancaman kemelesetan ekonomi, khususnya bermula dari pertengahan 1990an, beberapa tahun selepas wawasan itu dilancarkan.

“Sedar tidak sedar, kemelesetan teruk ekonomi negara berlaku sebanyak dua kali ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, masing-masing pada sekitar pertengahan 1980an dan 1990an,”ujar beliau.

Menurutnya, ketika tempoh kemelesetan itulah Tun Mahathir menyumbatkan sebegitu ramai individu ke dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya dalam Operasi Lalang pada 1987.

Beliau berpendapat, matlamat Wawasan 2020 untuk menyatupadukan kaum juga gagal dicapai atas faktor antara lain kerana wujudnya usaha negatif sepanjang zaman meniupkan api perkauman oleh DAP, parti rasis dan chauvenist yang kini Tun Mahathir sendiri jadikan kawan.

“Tidak perlulah Tun Mahathir mahu menunggu Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum yang akan datang bagi menunjukkan cara untuk merealisasikan wawasannya yang tak seberapa itu.

“Lagipun tahun 2020 hanya tinggal dua tahun untuk tiba. Entah apalah ‘magic’ yang ada dalam kepala bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan ini,” kata Khusairi.

Beliau seterusnya mengingatkan semua pihak mengenai amanat Tun Mahathir yang di ditanam di suatu lokasi di Kuala Lumpur sekitar tahun 1994.

“Surat amanat yang hanya Tun Mahathir tahu isi kandungannya itu hanya dibenarkan dibuka dan dibaca pada tahun 2020. Saya yakin bahawa amanatnya itu jauh terkebelakang berbanding apa yang telah dicapai oleh negara ketika ini,” ujarnya.