IPOH: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mensasarkan pembinaan platform pemasaran digital yang dikendalikan sepenuhnya oleh Malaysia menjelang Jun tahun depan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) untuk menjadikan sasaran itu tercapai dalam masa terdekat.

Katanya, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai satu platform pemasaran digital yang setanding dengan tahap antarabangsa untuk kegunaan rakyat di negara ini.

“Kita akan bertanding dengan kesemua platform antarabangsa dan buat masa ini kita telah bekerjasama dengan pembekal rangkaian telefon yang akan melengkapkan kesemuanya pada Jun tahun depan.

“MATTA merasakan bahawa jika dibandingkan dengan negara lain, kita masih perlu membayar cukai pendapatan dan pelancongan, justeru dengan adanya platform ini kelak ia akan memanfaatkan rakyat negara kita sendiri,”katanya kepada pemberita dalam sidang media ketika hadir dalam Majlis Makan Malam Tahunan MATTA 2018 di sini,hari ini.

Menurut Kok Liang,pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya bagi merealisasikan impian tersebut dan mengenalpasti pakej pelancongan berpotensi di seluruh negara.

Sementara itu, Kok Liang berkata majlis makan malam itu merupakan anjuran
kali kedua yang bertempat di Ipoh di sepanjang 43 tahun penubuhannya di negara ini.

Kok Liang berkata dengan kekuatan seramai 3,200 ahli yang terdiri daripada pelbagai jenis sektor MATTA Malaysia kini mempunyai sokongan hampir 70 peratus daripada pengendali pelancongan di seluruh negara.

“Kami berazam untuk memperkasakan modernisasi akta pelancongan, di mana kami ingin mengekang serta menghapuskan pengendali pelancongan yang beroperasi secara haram.

“Kita mengalami banyak kerugian berikutan perkara tersebut dan kita akan bertindak secara agresif untuk menanganinya,”katanya lagi.

Jelasnya, buat masa ini MATTA sedang bergiat aktif untuk mempromosikan setiap pakej pelancongan kepada negara di pasaran Asia dan Eropah untuk mengenalpasti kebolehpasarannya.